Sumayyah binti Khabath
adalah hamba Abu Huzaifah bin Mughirah. Tuannya mengahwinkan Sumayyah dengan
Yasir bin Amir, perantau dari Yaman ke Mekah. Apabila Allah mengurniakan mereka
seorang anak yang diberi nama Amar, Abu Huzaifah pun membebaskan Sumayyah daripada
menjadi hambanya.
Apabila Islam mula
tersebar, keluarga Yasir antara golongan pertama memeluk agama suci itu.
Sumayyah tidak gentar dengan amaran musyrikin Quraisy yang menyeksa dan
membunuh sesiapa yang memeluk Islam.
Apabila bangsawan
Quraisy mengetahui Sumayyah sudah memeluk Islam, mereka menyerbu rumahnya.
Keluarga Amar ditangkap dan dibawa ke khalayak untuk diseksa.
“Mereka sudah menyahut
ajaran Muhammad walaupun ditegah oleh pihak atasan Quraisy. Kamu akan menerima
balasan kerana ingkar perintah kami,” kata Abu Jahal kepada pengikutnya sambil
menarik keluarga Yasir yang terikat ke kawasan padang pasir di luar kota Mekah.
“Mereka tidak serik
dengan hukuman kita walaupun pengikut agama yang dibawa Muhammad telah diseksa
oleh kita,” kata seorang bangsawan Quraisy yang berjalan di sebelah Abu Jahal.
“Kali ini saya tidak
akan bebaskan mereka bertiga sehingga mereka mengaku berhala-berhala kita
sebagai tuhan mereka,” tegas Abu Jahal yang mengacah tombaknya ke arah keluarga
Yasir yang diseret secara kasar oleh pengikut Abu Jahal.
Mereka berhenti di
kawasan lapang yang dipenuhi bongkah batu besar. Yasir, Amar dan Sumayyah
ditanggalkan pakaian mereka lalu diikat pada bongkah batu yang panas mendidih
dipanah matahari padang pasir.
Kaki dan tangan mereka
diikat ketat sehingga tidak dapat bergerak seinci pun. Abu Jahal, pembesar
Quraisy dan pengikut setianya ketawa melihat penderitaan ketiga beranak itu.
“Kamu akan diseksa
dengan lebih teruk seandainya kamu tidak mahu meninggalkan agama yang dibawa
oleh Muhammad. Kamu akan dibebaskan jika kamu sanggup mengaku berhala-berhala
di kota Mekah ini sebagai tuhan kamu,” Abu Jahal mula mengambil tali sebat bagi
menakutkan Yasir, Sumayyah dan Amar.
“Kami tidak akan
mengaku berhala-berhala itu sebagai tuhan kami. Hanya Allah Tuhan kami,” balas
Yasir dengan tenang.
“Saya beriman dengan
Allah sahaja,” kata Sumayyah pula.
“Berani kamu melawan
kata-kata saya,” api kemarahan Abu Jahal semakin membara mendengarkan kata-kata
Sumayyah itu tadi.
“Ini balasan kepada
kamu kerana enggan menerima berhala-berhala sebagai tuhan kamu,” Abu Jahal dan
pengikutnya mula menyebat tubuh Yasir, Sumayyah dan Amar dengan kejam.
Hinggakan darah mengalir daripada tubuh mereka yang terikat pada bongkah batu
yang panas dipanah matahari tengah hari.
Berita penyeksaan
keluarga Yasir sampai ke pengetahuan Nabi SAW sehingga baginda dan Abu Bakar
keluar bagi menyelamatkan keluarga tersebut daripada seksaan kejam Abu Jahal
dan pengikutnya. Namun, mereka dihalang oleh orang-orang Quraisy yang
menyaksikan seksaan terhadap keluarga Yasir.
Hati Abu Jahal semakin
sakit melihat reaksi Yasir, Sumayyah dan Amar yang masih enggan menerima berhala
sebagai tuhan mereka. Dia mengarahkan pengikutnya memakaikan baju besi kepada
ketiga-tiga ahli keluarga tersebut agar bahang matahari semakin menyeksa
mereka.
“Kita lihat berapa lama
kamu boleh menahan seksa di tengah-tengah kepanasan matahari ini,” sindir Abu
Jahal sambil memandang wajah Yasir dan Sumayyah dengan bengis.
“Tiada tuhan melainkan
Allah,” kata Yasir, Sumayyah dan Amar merintih dalam kesakitan memakai baju
panas.
“Letakkan batu besar ke
atas badan Yasir,” arah Abu Jahal lagi kerana geram mendengar kata-kata Yasir
sekeluarga.
Seksaan demi seksaan ke
atas Yasir menyebabkan fizikalnya menjadi lemah kerana usianya yang sudah
lanjut. Akhirnya, Yasir menghembuskan nafasnya yang terakhir dengan menyebut
nama Allah tanpa menerima agama berhala Abu Jahal.
Walaupun hati Sumayyah
hancur melihat suaminya mati akibat seksaan Abu Jahal yang kejam, dia gembira
kepada suaminya mati dalam menegakkan agama Allah.
“Kamu pun mahu mati
seperti suami kamu. Lebih baik kamu terima tawaran saya sebelum ajal kamu tiba!”
Abu Jahal mahu menunjukkan yang seksaannya mampu mengubah pendirian pengikut
Nabi Muhammad kepada ajaran berhala.
“Jangan kamu berharap
saya akan menurut kata-kata kamu itu. Tiada tuhan melainkan Allah,”. Hati
Sumayyah keras seperti batu teguh pada keimanannya pada Allah.
“Kamu sudah semakin
degil dan melawan kata-kata saya!” Abu Jahal mengambil tombak dari tangan
kanannya lalu dicucuk ke dalam alat sulit Sumayyah.
“Allahu Akbar”.
Begitulah kata terakhir Sumayyah sebelum menghembuskan nafasnya akibat tikaman
tombak Abu Jahal itu.
Kematian Sumayyah
dengan nama Allah di mulutnya demi mempertahankan keimanan pada Allah adalah
peristiwa penting dalam sejarah pengembangan agama Islam. Sumayyah adalah
wanita pertama mati syahid dalam sejarah Islam.